Ummah mesti tanam sifat patriotik, terus berjihad bebaskan diri
daripada anasir negatiSemangat cintakan negara yang bebas daripada penjajahan
dan kini ditadbir mengikut acuan sendiri sewajarnya menyedarkan rakyat mengenai
kepentingan memelihara keharmonian negara yang menjadi sebahagian tuntutan
agama
Sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud: “Cintakan tanah air itu sebahagian dari iman.” (Hadis
riwayat Bukhori dan
Muslim) Kecintaan kuat terhadap tanah air adalah obor pencetus semangat untuk
terus membawa kemajuan kepada setiap warga negara bagi sama-sama memikul
tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan atau memajukan negara ke tahap
kecemerlangan.
Kemerdekaan negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah dan
dalam mensyukuri rahmat itu, jasa mereka yang berjuang membebaskan negara
daripada penjajah dan kini berjuang mempertahankan perlu dihargai.
Kemajuan negara terletak di tangan kepemimpinan dan rakyat
negara, justeru, setiap dicita perlu dilakukan sendiri semua pihak.Firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga
kaum itu sendiri yang berusaha untuk merubah keadaan hidup mereka.” (Surah
ar-Ra’du, ayat 11) Berjihad dan berkorban jiwa raga untuk memerdekakan negara
daripada belenggu penjajahan seperti dilakukan bekas pejuang hendaklah menjadi
iktibar kepada semua lapisan daripada anak kecil, murid sekolah, pelajar,
belia, dewasa serta warga emas.
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, jika kamu
membela Allah, nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan).”
(Surah Muhammad, ayat 7)Kedatangan Islam itu sendiri sebenarnya membawa mesej
jelas dan bersifat kemerdekaan. Islam menyeru umatnya membebaskan diri daripada
dibelenggu kejahilan, membebaskan diri dari sistem perhambaan dan cengkaman
musuh dalam apa juga bentuk. Islam yang syumul meletakkan kesejahteraan,
keharmonian, kedamaian dan keamanan pada martabat paling puncak. Hakikat ini
dapat dilihat pada perkembangan awal Islam di mana Rasulullah SAW berusaha
membawa kemakmuran di Madinah dan memerdekakan Kota Makkah daripada cengkaman
kafir Quraisy.
Islam juga bersifat merdeka dalam maksud berjihad membebaskan
diri terjerumus keruntuhan akhlak dan tingkah laku yang boleh membawa kemurkaan
Allah. Lantaran itu, Islam menitikberatkan usaha membebaskan diri dengan
menyelamatkan tamadun manusia dari terus diselaputi sifat syirik kepada Allah,
kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan melalui sistem penindasan berlaku sesama
makhluk Allah. Seorang penyair Arab, Ahmad Syauqi pernah berkata: “Kekalnya
bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak.”
Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab setiap warga yang
cintakan negara menghalang unsur negatif yang sedang menyelinap masuk ke dalam
pemikiran masyarakat. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi
seperti mereka (orang Yahudi dan Nasrani) yang bercerai berai dan berselisih
faham) sesudah datangnya keterangan yang jelas dan nyata (yang diberikan
Allah).” (Surah al-Imran, ayat 105) Sehubungan itu, umat Islam harus mengisi
ruang kemerdekaan untuk terus berjihad membebaskan diri daripada sifat yang
boleh meruntuhkan wibawa manusiawi kerana ia dimurkai Allah.
Nikmat kemerdekaan perlu diisi dengan meneruskan perjuangan demi
kestabilan negara supaya dapat diwarisi generasi akan datang, sanggup berkorban
dan menghadapi cabaran globalisasi untuk menjadi bangsa yang mampu bersaing. Dengan
roh dan semangat merdeka, marilah berganding bahu bertekad mempertahankan
negara daripada sebarang anasir serta ancaman boleh menggugat kestabilan tanah
air tercinta ini.Jejaki sunnah perjuangan Rasulullah SAW yang melipatgandakan
usaha membebaskan umat Islam Madinah dan Makkah dari cengkaman kukufuran dan
menjadi hamba serakah nafsu sendiri. Oleh itu, wajarlah kita berusaha
membebaskan diri daripada gejala tidak sihat dan permasalahan yang boleh
mencetus prasangka tidak baik.
nice!
ReplyDelete