“ Kita harus menghormati dan mencintai murabbi kita. Merekalah
yang banyak mendidik dan mengasuh kita menjadi hamba-hamba yang berisi
dengan ilmu,” Teringat kata-kata seorang senior saya semasa awal tingkatan satu.
“ Murabbi itu apa ?,” Soal saya tanpa segan dan silu.
“ Murabbi itu maknanya pendidik. Murabbi itu asal daripada
perkataan arab. Insan-insan yang
mendidik, mengajar dan memberikan
pengajaran kepada kita,” Jelas tutur bicara senior saya.
Bermula detik dan saat itu, saya mulai biasa dengan kalimah murabbi.
Bagi saya, istilah itu sangat-sangat sejuk dan dekat dengan hati saya.
Sesiapa sahaja yang mendidik, mengasuh, menyuluh dan mencerahkan saya
tentang sesuatu perkara dengan hikmah, bijaksana dan penuh keilmuaan –
saya selalu melabelkan dia sebagai murabbi. Murabbi ini adalah pekerjaan dan amalan yang mulia. Kerana apa?
Kerana ia memberikan suatu harga dan makna kepada seseorang. Dengan
ilmu, darjat seseorang tertingkat di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Nescaya Allah akan
meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa
yang kamu kerjakan.”
( Al- Mujadalah 58 : 11)
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
Sesiapa yang menjalani sesuatu jalan untuk mencari dan mempelajari
ilmu, Allah akan mempermudahkan kepadanya jalan menuju ke syurga.”
( Hadis Riwayat Muslim)
Biar apa pun, mata pelajaran yang diajar. Bahasa Arab, Pendidikan Islam dan apa jua madah
(mata pelajaran) dalam deen. Bahkan subjek-subjek yang lain seperti
Matematik, Bahasa Melayu, Inggeris dan sebagainya. Mereka-mereka adalah
murabbi. Murabbi yang menghubungkaitkan setiap ilmu yang dicurahkan kepada
saya dengan nilai-nilai ketauhidan, keislaman dan kefahaman yang jernih
berkaitan deen saya. Bayangkan, semasa di MATRI ada seorang guru fizik
saya yang sangat-sangat saya hormat, Cikgu Maimunah Hashim pernah
menghubungkan ilmu fizik dengan ketauhidan dan ubudiyah. Sesuatu yang
baru bagi saya, ketika itu terbukalah minda, hati dan fikiran saya
bahawa semua ilmu itu adalah daripada Allah SWT.
MasyaAllah.
"mencari intelek muslim bertakwa di dunia
sekarang ibarat mencari gagak putih di tengah gagak hitam...pastikan kita
generasi yang meredah jalan-jalan perjuangan menuju destinasi iaitu KEREDHAAN
ALLAH"
No comments:
Post a Comment